Powered By Blogger

Rabu, 28 Mei 2014

Usah Sombong Bila Berjaya..^_^

     MENGAPAKAH ALLAH melarang penyakit sombong daripada menguasai jiwa manusia? Umum mengetahui, manusia ini sifatnya lemah. Sedangkan ALLAH yang memiliki kuasa bersifat Pengasih dan Penyayang tidak pernah sombong dengan hamba-NYA. Hanya manusia yang tidak beriman sahaja menganggap dirinya berkuasa dan kuat segala-galanya. Manusia lupa, apa yang ada pada dirinya adalah pinjaman daripada ALLAH dan tidak layak sama sekali bersifat angkuh.

     Sifat angkuh dan sombongini sangat bahaya sehinggakan Rasulullah SAW menjelaskan melalui satu hadis daripada Abdullah bin Mas'ud r.a diriwayatkan oleh Muslim, katanya,
Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong. Kemudian seseorang berkata, "(Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus." Beliau bersabda, "Sesungguhnya Allah itu indah dan DIA menyukai keindahan, (dan yang dimaksudkan dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain.
     ALLAH sendiri mengingatkan hamba-NYA supaya jangan berlaku sombong terhadap manusia lain dan ini ditegaskan dalam al-Quraan surah Luqman ayat 18 yang bermaksud,
Janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
     Orang yang bersifat sombong sudah tentu akan terlepas peluang menjadi penghuni syurga. Perhatikan apa kata Rasulullah SAW melalui hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim ini,
Rasulullah SAW berkata, "Mahukah aku beritahu kepada kamu tentang penghuni syurga? Para sahabat menjawab: Tentu (wahai Rasulullah). Lalu baginda berkata: "(Penghuni syurga adalah) orang yang lemah lagi direndahkan oleh orang lain, kalau dia bersumpah (berdoa) nescaya ALLAH kabulkan doanya. Mahukah aku beritahu kamu tentang penghuni neraka? Para sahabat menjawab: Tentu (wahai Rasulullah). Lalu beliau berkata: "(Penghuni neraka adalah) orang yang keras kepala, berbuat sesuka hati (kasar), lagi sombong."
     Bagi orang berjaya tetapi bersifat sombong, mereka tidak akan menyedari bahawa telah berlaku sombong. Ini kerana, mereka telah tenggelam dalam pujian masyarakat bahkan seakan-akan buta yang sifat itu adalah perbuatan tercela. Ini akan membuatkan mereka berasa lebih hebat manakala orang lain dianggap lemah.

     Apabila ini berlaku, hati mereka seolah-olah telah dikunci mati kerana hati merupakan punca segala kesombongan, sedangkan anggota tubuh yang lain terpaksa tunduk dengan kehendak hati yang bongkak ini.

     Oleh itu, janganlah ada di antara kita memiliki sifat sombong kerana ALLAH telah menjanjikan kehinaan hidup di dunia dan di akhirat berpunca daripada sikap jahil yang dilakukan. ALLAH menjanjikan amanat-NYA dalam al-Quraan surah Al-A'raf ayat 146, yang bermaksud,
Aku akan memalingkan (hati) orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayat-KU (yang menunjukkan kekuasaan-KU).
     Apabila ALLAH telah memalingkan hati, yakni tidak mahu menerima kebenaran, DIA akan menghinakan hidup seseorang itu dengan kejahilan sebagai balasan sikap sombong. Manakala pada hari akhirat, akan dihina pula dengan cara saiz tubuh mereka dikecilkan seperti semut dan kehinaan datang kepada mereka daripada segenap penjuru. Ini dijelaskan melalui hadis oleh at-Tirmizi dan Ahmad, Rasulullah SAW berkata,
Orang yang sombong akan dihimpunkan pada hari kiamatseperti dalam bentuk semut-semut kecil dengan rupa manusia, dari segala tempat datang kehinaan kepada mereka, mereka dibawa ke penjara neraka jahanam yang disebut Bulas, di bahagian atasnya api yang menyala-nyala dan mereka diberi minuman daripada kotoran penghuni neraka.





SELAMAT MEMBACA.. ^_^

 
 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan