Powered By Blogger

Ahad, 25 Mei 2014

Bersyukur Apabila Mendapat Nikmat...

     BERSYUKUR bermaksud berterima kasih di atas nikmat yang ALLAH berikan kepada kita. Nikmat yang dimaksudkan di sini terlalu luas ertinya. Secara keseluruhan, apa yang Allah berikan kepada hamba-NYA di dunia adalah nikmat belaka. Di antara nikmat yang kita perolehi ialah kesihatan, kemewahan, rezeki dan kebahagiaan. Manakala nikmat yang terbesar ialah iman dan Islam.

  Tanda-tanda seseorang itu bersyukur ialah apabila dia gembira dengan nikmat tersebut dan melipatgandakan amal ibadat serta mendekatkan diri kepada ALLAH. Juga sentiasa mengucapkan syukur dan memuji-muji keagungan-NYA di samping mengingati-NYA meskipun ketika beroleh nikmat yang kecil.

     Orang yang bersyukur, jiwanya bersih. Bertambah dekat kepada ALLAH dan semakin sedar nikmat yang dikurniakan itu perlu digunakan untuk kebaikan sesama manusia. ALLAH telah berjanji akan memberikan nikmat tidak terhingga kepada mereka yang bersyukur dan akan memberikan balasan baik bagi yang sebaliknya.

      Bayangkan jika Rasulullah SAW sendiri pernah menitiskan air mata apabila mengenangkan kejadian alam yang terbentang luas ini ketika menunaikan solat, apatah lagi kita sebagai insan biasa. Perbuatan Rasulullah SAW ini dilihat oleh isterinya Siti Aisyah r.a, lantas dia bertanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah, apakah yang menyebabkan engkau menangis sedangkan ALLAH telah mengampunkan dosa-dosamu yang lalu dan terkemudian?"

      Rasulullah SAW kemudian menjawab, "Adakah aku ini bukan seorang hamba yang bersyukur? Mengapa aku tidak berbuat demikian sedangkan ALLAH telah memberikan banyak nikmat kepadaku?" Sehubungan itu terdapat enam cara untuk kita menyatakan syukur kepada ALLAH:

     Pertama: Sentiasa berdoa atau memuji ALLAH dalam setiap perbuatan dan tindakan. Misalnya ketika bangun daripada tidur, sebelum dan selepas makan, menaiki kenderaan dan sebagainya.

     Kedua: Disunatkan melakukan sujud syukur apabila mendapat kejayaan, kemenangan dan seumpamanya. Doa sujud syukur ialah, "Aku sujudkan wajahku ini kepada Yang Menciptanya dan membentuk rupanya dan Yang Membuka Pendengaranya dan Penglihatannya. Maha Suci ALLAH sebaik-baik Pencipta."

     Ketiga: Melakukan segala perintah ALLAH dengan ikhlas dan menjauhi segala larangan-NYA dengan sabar. Ini ditegaskan oleh Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah Abdul Rahman Ibn Sokhrin r.a beliau berkata, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Apa-apa yang aku larang kamu melakukannya, hendaklah kamu menjauhinya dan apa-apa yang aku perintahkan kamu melakukannya lakukanlah seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak persoalan dan banyak perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka.
      Keempat: Memanfaatkan pemberian ALLAH dengan cara yang betul seperti menggunakan lidah untuk berzikir, mata untuk membaca al-Quraan, tangan untuk membantu, telinga untuk mendengar perkara baik dan seumpamanya. Ini dijelaskan dalam al-Quraan surah Al-A'raf ayat 205,
Dan sebutlah nama TUHANmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak meninggikan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang yang lalai.
      Kelima: Menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, sentiasa bersedekah dan menginfakkan harta ke jalan ALLAH S.W.T. Ini ditegaskan dalam hadis at-Tarmizi, Rasulullah SAW yang berkata,
Aku memerintahkan kamu bersedekah. Perumpamaan perkara itu sama seperti seorang lelaki yang ditawan oleh musuh. Mereka mengikat tangannya terbelenggu di lehernya. Maka berkatalah (sedekah), "Aku menebusnya daripada kamu banyak atau sedikit. Sehingga (sedekah) menebus dirinya daripada mereka."
     Keenam: Sentiasa memohon kepada ALLAH agar menjadi hamba yang sentiasa bersyukur, sebagaimana doa yang diajarkan oleh Raulullah SAW bermaksud, "Ya ALLAH! Bantulah kami supaya dapat selalu menyebut-MU ( berzikir mengingati-MU), bersyukur dan beribadat yang sebaik-baiknya kepada-MU."



SELAMAT MEMBACA!!!! ^_^



    

     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan