Powered By Blogger

Khamis, 22 Mei 2014

Resipi Membangunkan Hati....

MEMBANGUNKAN hati. Bagaimana caranya untuk kita membangunkan hati? Kenapa pula kita mesti melakukannya?

Hati ini milik ALLAH. Ia sentiasa perlu dibangunkan agar tidak tenggelam dalam keseronokan dan keselesaan dunia semata-mata. Hati yang tenggelam ini akan berhadapan dengan risiko kematian hati. Kematian hati ini satu penyakit yang paling ditakuti oleh orang-orang yang beriman kepada Allah. Tetapi, bagaimana mahu membangunkan hati?

Jika memasak pun ada resipinya yang tertentu, maka mahu menjadikan hati itu baik juga tentu ada resipinya yang tersendiri.


~Resipi Asas, Jangan Abaikan

Jika dalam masakan, kita ada bahan-bahan asas yang perlu dimasukkan seperti bawang dan minyak. Maka mahu membangunkan hati pun ada resipi asas ini, maka kita letaklah apa pun selepas itu, ia tetap akan menjadi tidak bermakna.

Apakah resipi asas itu?

  • Solat fardu
  • Membaca Al-Quraan
Inilah dua resipi utama. Jangan kita abaikannya. Sesiapa yang meninggalkan yang dua ini, maka resipi-resipi selepas itu pun akan memiliki lompang yang banyak. SOLAT itu satu keutamaan dalam kehidupan kita. Sesiapa yang meninggalkannya, dia telah meruntuhkan tiang-tiang utama yang memegangnya.

Begitulah solat. Bagaimana mungkin kita membina hati teguh dengan kebaikan jika solat tidak dijaga. Ada juga yang solat dalam keadaan kosong, lantas dia tidak memperolehi apa-apa pun melainkan gerakan dan bacaan semata-mata. Maka perelokkanlah solat. Dalamilah makna ayat-ayatnya agar kita memahami setiap gerakan dan bacaan kita. Perbaikilah solat kita dan latihlah hati untuk khusyuk ketika melaksanakannya.

Al-Quraan itu sumber kekuatan kita. Di dalamnya ada penawar kepada segala masalah. Didalamnya ada berita gembira yang sentiasa mendorong untuk kita membuat kebaikan. Di dalamnya jua wujud ancaman-ancaman yang sentiasa mengingatkan kita agar tidak melampaui had yang telah Allah tetapkan. Bacalah al-Quraan dan dalamilah setiap butir perkataannya.

Ini resipi asas. Tinggalkan ini hati kita akan binasa. Solat itu perintahnya turun dari langit. Begitu juga al-Quraan. Kedua-duanya dari tempat yang tinggi. Maka, sesiapa yang mengabaikan kedua-duanya, hilanglah ketinggian dan kekuatan dalam hidupnya.


SELAMAT MEMBACA ^_^.....







Tiada ulasan:

Catat Ulasan