Powered By Blogger

Rabu, 1 April 2015

TAWAKAL

~TAWAKAL~

TAWAKAL berasal dari perkataan Arab 'Wakalah' yang bererti memilih wakil, mewakilkan atau menyerahkan urusan kepada pihak yang lain.

Menurut Abu Zakaria Ansari, "Tawakal ialah keteguhan hati dalam menyerahkan urusan kepada orang lain." Sifat sedemikian berlaku selepas timbulnya rasa percaya kepada orang yang diserahkan urusan tadi. Maksudnya, dia mesti mempunyai sifat amanah (dipercayai) terhadap apa yang diamanahkan dan dia boleh memberikan rasa tenang dan selamat terhadap orang yang memberikan amanah tersebut.

Imam al-Ghazali menukilkan bahawa,
   
   "Tawakal ialah menyandarkan kepada Allah SWT tatkala menghadapi sesuatu kepentingan, bersandar kepada-Nya dalam waktu kesukaran, teguh hati ketika ditimpa bencana disertai jiwa yang tenang dan hati yang tenteram."

-PENCERAHAN-

Dalam meletakkan sandaran dan perwakilan sebagai kepercayaan sepenuh hati bagi sesuatu urusan, pastinya diperlukan wakil yang diyakini dan diketahui kredibilitinya dan melengkapkan empat sifat, iaitu:


* Muntahal Hidayah ( kepercayaan dan diyakini kebenaran)* Muntahal Qudwah ( mempunyai kemampuan)* Muntahal Fashohah ( cukup berpengetahuan)* Muntahal Syafaqah ( paling prihatin dan kasih sayang)


Tiada makhluk yang diciptakan-Nya berupaya memenuhi semua empat sifat di atas untuk disandarkan kepercayaan. Semua sifat di atas hanyalah ada pada Allah SWT sahaja.

Allah berfirman dalam ayat yang dikenali sebagai 'Ayat 1000 Dinar';

     "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah menetapkan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (al-Thalaq:2-3)

Buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, karangan Syeikh Dr. Fathi Yakan, ada menyebutkan dalam bab 'Saya Mestilah Muslim dari Sudut Akidah' iaitu saya mesti bertawakal sepenuhnya kepada Allah dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepada-Nya. Sifat tawakal inilah yang membangkitkan kekuatan zahir dan batin di dalam jiwa jiwa dan diri saya yang menyebabkan segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah.

Sifat ini seperti seruan Allah SWT;

".....dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya...." (al-Talaq: 3)

'Kenallah Allah Pada Masa Lapang' dalam buku Hadith 40 (terjemahan dan syarahnya) pula mengatakan Rasulullah SAW meneruskan pengajaran kepada Abdullah Ibnu Abbas r.a, iaitu:

  "Peliharalah Allah nescaya engkau dapati-Nya berada di hadapan engkau, menyertai dan menolong engkau. Dan kenallah Allah pada masa lapang, nescaya Dia kenal engkau pada masa susah dikala engkau sedang mengalami perkara yang sukar." - Hadis riwayat Muslim 

KESIMPULAN:

Hati ini mengajak diri untuk bertawakal, berserah diri kepada Allah. Semoga segala usaha dan doa yang telah dipanjatkan kepada-Nya dimakbulkan dan dikurniakan keputusan yang diharapkan. Cuma harus diingatkan usaha yang dilakukan sebelum bertawakal itu adalah usaha yang bersesuaian, munasabah dan tidak bertentangan dengan syarak. Contoh, mencari barang yang hilang hendaklah dicari dengan bersungguh-sungguh bukan dengan duduk atas tikar, buat aksi dayung guna tongkat, angkat raga dan dua biji buah kelapa! Sebab nanti yang dicari belum tentu dapat yang confirmed hilang ialah akidah dan maruah.

Sumber: Cuit-Cuit Ustaz Kay's


Tiada ulasan:

Catat Ulasan